Putera Klasik

Fikirkanlah…Renungkanlah

Daily Archives: September 14, 2011

Bahana Jika Melayu Terlalu Leka Berpolitik

DIAGNOSIS oleh Dr Mohd Azam Rauzan Berita Harian – Muka 10 Isnin 9 Jun 2003

BENARKAH survival bangsa Melayu kini hanya terletak pada kuasa politik Melayu? Kalau benar, apakah orang Melayu sudah cukup kematangan politiknya untuk memastikan survival bangsa Melayu terus mekar di bumi bertuah ini?

Sesetengah ahli akademik beranggapan bahawa gaya dan pola politik Melayu sekarang begitu celaru dan tidak menunjukkan satu kematangan selaras dengan usia demokrasi di Malaysia.

Selepas 46 tahun negara mencapai kemerdekaan, orang Melayu di Malaysia tidak sepatutnya boleh complacent dan berbangga dengan pencapaian kuasa politik yang dimilikinya.

Apakah kuasa politik ini menjadi hak milik orang Melayu, selagi UMNO masih diberi peluang untuk berkuasa? Sampai bilakah agaknya kita dapat terus berbangga dengan status yang ada?

Saya sengaja membicarakan hal sensitif ini (kepada sesetengah pihak) tetapi secara rasional, tanpa emosi serta prejudis dalam proses percambahan pemikiran, demi kelangsungan masa depan Melayu.

Orang Melayu janganlah berkhayal bahawa kuasa politik mereka akan kekal selagi ada bulan dan bintang. Memang tidak ada salahnya bila Hang Tuah pernah berkata “Tidakkan melayu hilang di dunia”,tetapi apakah nilainya jika Melayu yang tinggal di dunia ini adalah Melayu yang hilang kuasa politiknya.

Melayu seperti ini ibarat tunggul yang menunggu reput. Apakah kita sanggup memperjudikan nasib anak bangsa kita seperti tunggul?

Pada hemat saya kematangan berpolitik belum ada dikalangan orang Melayu. Apa tidaknya? Kalau politik menyatukan orang Melayu untuk bangkit menentang Malayan Union, kini politik jugalah yang memecahkan umat Melayu di Malaysia.

Sejarah pergelutan politik orang Melayu sejak merdeka hingga sekarang memperlihatkan kecenderungan terhadap hakisan kekuasaan Melayu akibat perpecahan dikalangan bangsa Melayu sendiri.

Sekarang Melayu lawan Melayu. Bukan orang lain yang lawan Melayu. Sekarang Melayu sendiri yang cuba memusnahkan telapak kuasa bangsa sendiri. Permusuhan diantara UMNO dan PAS nampaknya menjadi faktor utama melemahkan kuasa politik Melayu.

Walhal, tidak ada bezanya Melayu dalam UMNO dan Melayu dalam PAS, begitu juga Melayu yang lain. Bukankah semua Melayu ini berasal dari satu rumpun bangsa yang sama?

Semua Melayu mahu memartabatkan Islam, memajukan bangsanya dan mengukuh ketahanan nasional. Tapi atas nama politik dan kepentingannya, maka Melayu ini berpecah.

Melayu jadi lemah, hingga memberanikan orang lain membelakangkan kontrak sosial yang dimeterai ketika kemerdekaan dengan mendesak untuk membela kepentingan kaumnya.

Orang Melayu perlu ingat,bahawa semakin mereka ghairah bertikai orang lain lebih bijak bertindak merebut kesempatan melaksanakan agenda mereka.

Perlembagaan tidak menetapkan Melayu untuk memerintah selama-lamanya. Kuasa politik Melayu bukanlah suatu hak mutlak, tetapi lahir daripada proses demokrasi dalam pilihanraya.

Disudut ini nampaknya parti-parti bukan Melayu lebih matang dalam menimbang dan membuat pilihan. Walaupun dalam parti berlainan, mereka mengembalikan mandat kepada pemerintah demi kepentingan bangsa mereka.

Kamatangan ini dibuktikan dalam pilihanraya tahun 1999 apabila orang Cina tahu siapa yang harus mereka pilih demi status ekonomi mereka dan sosial mereka terjamin.

Mereka melihat banyak titik persamaan dan berusaha bersama-sama untuk mencapainya. Mereka mengurus krisis dan tahu bila mahu berhenti bercakaran apabila keadaan memerlukan mereka bersatu.

Lain pula halnya dengan bangsa Melayu. Orang Melayu berpolitik sepanjang masa. Tidur politik, makan politik, sembang politik, main politik, bekerja politik, diwarung politik, dimasjid politik, dipasar politik dan hinggakan disekolah pun politik.

Dalam konteks untuk mempertahankan kuasa politik bangsa, kita perlu merancang strategi yang paling berkesan tanpa emosi, sentimen serta pembohongan.

Melayu mesti belajar berbeza pendapat tetapi masih mengasihi bangsa sendiri.

Belajarlah dari sejarah. Warisan dan kebudayaan Islam Cardova dan Baghdad pada zaman kegemilangan Islam yang lampau, runtuh bersama kehancuran politiknya selepas abad ke-13, akibat perpecahan dan persengketaan sesama umat Islam.

Ingatlah apa yang berlaku pada masyarakat Melayu Singapura. Yang tinggal hanya angan-angan kerana mereka hilang segala kuasa politik, ekonomi dan hak lain, apabila golongan lain memiliki kuasa politiknya.

Apakah kita mahu mengikuti jejak orang Melayu Singapura yang tenggelam dan lemas dengan labu-labunya.

Apakah ini tidak boleh berlaku ditanahair kita Malaysia? Atau pada hakikatnya sudahpun berlaku disana sini, seperti dalam pilihanraya lalu. Cuma kita yang buta untuk menghayatinya.

Untuk celik, Melayu harus membuka minda dan menghayati semula kunci perjuangan ideologi politik masing-masing. Jika selama ini ia menguntungkan bangsa kita, bermakna khidmatnya sudah dinikmati.

Mungkin kita tidak akan dapat menghapuskan perbezaan pandangan dan sikap dikalangan orang Melayu, tetapi kita boleh membina satu kematangan dan keharmonian untuk menguruskan perbezaan ini.

Kebimbangan terhadap masa depan ketuanan Melayu dan kekuasaan politik Melayu bukanlah suatu perkara yang sengaja dibuat-buat atau hanya suatu dongengan yang dihidupkan untuk menakut-nakutkan mana-mana pihak.

Ini adalah satu realiti kehidupan yang terpaksa dihadapi oleh bangsa Melayu ketika ini.

Marilah kita sinergikan perbezaan ini menjadi satu ‘perkongsian pintar’, bukan sebagai satu pertentangan. Ingatlah, tidak semestinya perbezaan ini adalah satu pertentangan.

Jangan disoal sangat perihal gading yang retak kerana memang tidak ada gading yang tidak retak. Memang tidak ada bumi yang tidak ditimpa hujan. Melayu mesti menoleh dan menghalakan pandangan jauh ke depan.

Jangan sampai jadi telahan perumpamaan Melayu,”seperti antan berlaga sama antan, ayam ditepi lesung yang kenyang”

diagnosis@johordt.com

Posted with WordPress for BlackBerry.

Celaru Bahasa Celaru Bangsa

Fikirkanlah...Renungkanlah

Fikirkanlah…Renungkanlah

Saya bukanlah pakar bahasa. Cuma ada beberapa perkara dalam penggunaan bahasa kita yang saya rasa amat pelik.

Berikut beberapa contoh yang saya rasa kita perlu melakukan sesuatu.

Melakukan….maksudnya melariskan atau berbuat sesuatu?

Sebenarnya saya menulis dengan cukup banyak kesukaran demi mengelakkan ayat yang boleh disalah tafsirkan.

Menjawap soalan mudah anak pun kadangkala terasa sukar!

Barangkali keadaan ini menjelaskan mengapa kita akan bercakap Melayu dalam pelat Cina ataupun India semasa berbual dengan mereka?

Itu lebih mudah untuk mereka atau untuk kita? Sesama kita pula akan berbahasa Inggeris rojak!

1) KEBENARAN dari kata dasar BENAR

Bermaksud (permission) atau keizinan?

Bermaksud (truth) atau betul?

DILARANG MASUK TANPA KEBENARAN

Maksudnya jangan masuk tanpa keizinan atau jangan masuk dengan pendustaan (penipuan)?

Kenapa tidak digunakan sahaja DI LARANG MASUK TANPA KEIZINAN?

MENEGAKKAN KEBENARAN

Ini tema perjuangan dari timur dan barat. Orang Islam lazim menggunakan slogan ini.

Orang kafir pun jelasnya memperjuangankan kebenaran!

Mereka mahu dibenarkan segala kehendak nafsu, jika tidak kita akan dituduh melanggar hak asasi manusia!

Orang Islam pun ramai yang nampaknya senada dengan isu perjuangan dari luar negara!

Mahu dibenarkan pelbagai perkara walaupun memudaratkan kedaulatan negara!

MENEGAKKAN KEBETULAN apa maksudnya?

KEBETULAN lawannya KESALAHAN? KEGELAPAN lawannya KETERANGAN?

2) KAKITANGAN

Bermaksud pekerja atau staff

Banyak papantanda memaparkan perkataan KAKITANGAN SAHAJA.

Maksudnya hanya para pekerja sahaja yang diizinkan masuk atau jangan masuk dengan kepala dan lain-lain anggota?

Barangkali ini menjelaskan kenapa para pekerja sering keluar ke kantin.

Tentunya untuk memikirkan masalah kerja yang timbul. Maklumlah kepala terpaksa ditinggalkan diluar!

3) PERCAYA

Membawa maksud To believe… atau To trust.. ?

Dalam memperkatakan tentang rukun iman, kita wajib percaya kepada 6 perkara.

Ramai dari kalangan kita menyimpulkan bahawa rukun iman itu adalah percaya kepada perkara yang ghaib-ghaib.

Kesimpulan ini telah membawa kepada kewujudan rukun iman yang ke 7 yakni Percaya kepada yang ghaib-ghaib.

Dalam ertikata lain Percaya kepada Jin dan makhluk halus. Kita percaya dengan kewujudan makhluk jin ini.

Menjadi suatu masalah besar kerana terlalu ramai orang kita yang menerima sebagai betul berita-berita yang dibawakan oleh makhluk ini.

Sedangkan sesama manusia pun kita perlu menapis dan memikirkan dengan waras semua berita atau maklumat.

Kenapa dengan makhluk halus ini kita menerima sahaja bulat-bulat?

Makhluk yang diuji dimuka bumi ini adalah manusia dan jin. Di kalangan manusia sendiri ada yang beriman dan ada yang tidak, begitu juga makhluk jin ini.

Sesama manusia pun cukup banyak tipu muslihat yang perlu di awasi.

Tidak cukup sekadar mengaku sanggup bertanggungjawab, soalnya bolehkah dipertanggungjawapkan?

Seperti orang kafir mengaku makanannya DI TANGGUNG HALAL!!

Soalan saya apakah yang dimaksudkan Percaya didalam rukun iman? To believe… atau To trust.. ?

4) SUMBANG

Ini satu perkataan yang paling menjengkelkan saya. Bagaimana satu perkataan boleh membawa dua maksud yang bertentangan.

Orang bertanya saya, apa sumbangan awak pada negara? Saya jawap tiada!

Kalau ditanya saya apa jasa dan bakti saya pada negara barangkali boleh saya senaraikan apa yang telah saya lakukan!

Jelasnya orang kita cukup banyak menyumbang.

Sumbang mahram umpamanya banyak dilakukan oleh orang kita. Mengata dan mengumpat adalah pekerjaan sumbang, juga banyak dilakukan oleh bangsa kita!

Begitu juga apa yang disifatkan sebagai suara-suara sumbang..!

Maksud saya jika anda ingin menyumbang kepada negara, tepuk dada tanyalah selera tapi jika anda ingin berbakti kepada negara, tepuk dada tanyalah iman!

Jelasnya menyumbang menempah dosa tetapi berbakti atau berjasa menempah pahala yang boleh anda bawa mati.

© @AskMe 2005/2011

APA SUMBANGAN ANDA PADA NEGARA atau APA BAKTI ANDA PADA NEGARA?

Posted with WordPress for BlackBerry.