Putera Klasik

Fikirkanlah…Renungkanlah

Bahana Jika Melayu Terlalu Leka Berpolitik

DIAGNOSIS oleh Dr Mohd Azam Rauzan Berita Harian – Muka 10 Isnin 9 Jun 2003

BENARKAH survival bangsa Melayu kini hanya terletak pada kuasa politik Melayu? Kalau benar, apakah orang Melayu sudah cukup kematangan politiknya untuk memastikan survival bangsa Melayu terus mekar di bumi bertuah ini?

Sesetengah ahli akademik beranggapan bahawa gaya dan pola politik Melayu sekarang begitu celaru dan tidak menunjukkan satu kematangan selaras dengan usia demokrasi di Malaysia.

Selepas 46 tahun negara mencapai kemerdekaan, orang Melayu di Malaysia tidak sepatutnya boleh complacent dan berbangga dengan pencapaian kuasa politik yang dimilikinya.

Apakah kuasa politik ini menjadi hak milik orang Melayu, selagi UMNO masih diberi peluang untuk berkuasa? Sampai bilakah agaknya kita dapat terus berbangga dengan status yang ada?

Saya sengaja membicarakan hal sensitif ini (kepada sesetengah pihak) tetapi secara rasional, tanpa emosi serta prejudis dalam proses percambahan pemikiran, demi kelangsungan masa depan Melayu.

Orang Melayu janganlah berkhayal bahawa kuasa politik mereka akan kekal selagi ada bulan dan bintang. Memang tidak ada salahnya bila Hang Tuah pernah berkata “Tidakkan melayu hilang di dunia”,tetapi apakah nilainya jika Melayu yang tinggal di dunia ini adalah Melayu yang hilang kuasa politiknya.

Melayu seperti ini ibarat tunggul yang menunggu reput. Apakah kita sanggup memperjudikan nasib anak bangsa kita seperti tunggul?

Pada hemat saya kematangan berpolitik belum ada dikalangan orang Melayu. Apa tidaknya? Kalau politik menyatukan orang Melayu untuk bangkit menentang Malayan Union, kini politik jugalah yang memecahkan umat Melayu di Malaysia.

Sejarah pergelutan politik orang Melayu sejak merdeka hingga sekarang memperlihatkan kecenderungan terhadap hakisan kekuasaan Melayu akibat perpecahan dikalangan bangsa Melayu sendiri.

Sekarang Melayu lawan Melayu. Bukan orang lain yang lawan Melayu. Sekarang Melayu sendiri yang cuba memusnahkan telapak kuasa bangsa sendiri. Permusuhan diantara UMNO dan PAS nampaknya menjadi faktor utama melemahkan kuasa politik Melayu.

Walhal, tidak ada bezanya Melayu dalam UMNO dan Melayu dalam PAS, begitu juga Melayu yang lain. Bukankah semua Melayu ini berasal dari satu rumpun bangsa yang sama?

Semua Melayu mahu memartabatkan Islam, memajukan bangsanya dan mengukuh ketahanan nasional. Tapi atas nama politik dan kepentingannya, maka Melayu ini berpecah.

Melayu jadi lemah, hingga memberanikan orang lain membelakangkan kontrak sosial yang dimeterai ketika kemerdekaan dengan mendesak untuk membela kepentingan kaumnya.

Orang Melayu perlu ingat,bahawa semakin mereka ghairah bertikai orang lain lebih bijak bertindak merebut kesempatan melaksanakan agenda mereka.

Perlembagaan tidak menetapkan Melayu untuk memerintah selama-lamanya. Kuasa politik Melayu bukanlah suatu hak mutlak, tetapi lahir daripada proses demokrasi dalam pilihanraya.

Disudut ini nampaknya parti-parti bukan Melayu lebih matang dalam menimbang dan membuat pilihan. Walaupun dalam parti berlainan, mereka mengembalikan mandat kepada pemerintah demi kepentingan bangsa mereka.

Kamatangan ini dibuktikan dalam pilihanraya tahun 1999 apabila orang Cina tahu siapa yang harus mereka pilih demi status ekonomi mereka dan sosial mereka terjamin.

Mereka melihat banyak titik persamaan dan berusaha bersama-sama untuk mencapainya. Mereka mengurus krisis dan tahu bila mahu berhenti bercakaran apabila keadaan memerlukan mereka bersatu.

Lain pula halnya dengan bangsa Melayu. Orang Melayu berpolitik sepanjang masa. Tidur politik, makan politik, sembang politik, main politik, bekerja politik, diwarung politik, dimasjid politik, dipasar politik dan hinggakan disekolah pun politik.

Dalam konteks untuk mempertahankan kuasa politik bangsa, kita perlu merancang strategi yang paling berkesan tanpa emosi, sentimen serta pembohongan.

Melayu mesti belajar berbeza pendapat tetapi masih mengasihi bangsa sendiri.

Belajarlah dari sejarah. Warisan dan kebudayaan Islam Cardova dan Baghdad pada zaman kegemilangan Islam yang lampau, runtuh bersama kehancuran politiknya selepas abad ke-13, akibat perpecahan dan persengketaan sesama umat Islam.

Ingatlah apa yang berlaku pada masyarakat Melayu Singapura. Yang tinggal hanya angan-angan kerana mereka hilang segala kuasa politik, ekonomi dan hak lain, apabila golongan lain memiliki kuasa politiknya.

Apakah kita mahu mengikuti jejak orang Melayu Singapura yang tenggelam dan lemas dengan labu-labunya.

Apakah ini tidak boleh berlaku ditanahair kita Malaysia? Atau pada hakikatnya sudahpun berlaku disana sini, seperti dalam pilihanraya lalu. Cuma kita yang buta untuk menghayatinya.

Untuk celik, Melayu harus membuka minda dan menghayati semula kunci perjuangan ideologi politik masing-masing. Jika selama ini ia menguntungkan bangsa kita, bermakna khidmatnya sudah dinikmati.

Mungkin kita tidak akan dapat menghapuskan perbezaan pandangan dan sikap dikalangan orang Melayu, tetapi kita boleh membina satu kematangan dan keharmonian untuk menguruskan perbezaan ini.

Kebimbangan terhadap masa depan ketuanan Melayu dan kekuasaan politik Melayu bukanlah suatu perkara yang sengaja dibuat-buat atau hanya suatu dongengan yang dihidupkan untuk menakut-nakutkan mana-mana pihak.

Ini adalah satu realiti kehidupan yang terpaksa dihadapi oleh bangsa Melayu ketika ini.

Marilah kita sinergikan perbezaan ini menjadi satu ‘perkongsian pintar’, bukan sebagai satu pertentangan. Ingatlah, tidak semestinya perbezaan ini adalah satu pertentangan.

Jangan disoal sangat perihal gading yang retak kerana memang tidak ada gading yang tidak retak. Memang tidak ada bumi yang tidak ditimpa hujan. Melayu mesti menoleh dan menghalakan pandangan jauh ke depan.

Jangan sampai jadi telahan perumpamaan Melayu,”seperti antan berlaga sama antan, ayam ditepi lesung yang kenyang”

diagnosis@johordt.com

Posted with WordPress for BlackBerry.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s