Putera Klasik

Fikirkanlah…Renungkanlah

Peristiwa Nabi Yunus Ditelan Paus.

Diambil dari MASTIKA DISEMBER 1998

Nabi Yunus adalah rasul bagi para penduduk Ninawa, di Musil, Iraq. Baginda diutuskan Allah ke Ninawa memandangkan umatnya yang berjumlah kira-kira 100,000 orang itu hidup dalam kesesatan, menidakkan ke-Esaan Allah dan menyembah berhala.

Sebagai Rasul, Nabi Yunus menyampaikan seruannya dengan penuh hikmah, sabar serta bersopan. Diterangkan oleh baginda tentang ke-Esaan Allah dan kebesaran-Nya. Semuanya diterangkan dengan jelas, namun umatnya terlalu sukar untuk melepaskan kepercayaan yang telah sebati dalam jiwa mereka.

Selepas bertahun-tahun berdakwah, umatnya bukan sahaja ingkar, malah mempersendakan seruan Nabi Yunus. Setiap hari dia diejek dan diperlekehkan dengan kata-kata kesat.

Kecewa dengan kelakuan umatnya itu, Nabi Yunus memberi amaran bahawa Allah akan menurunkan bala serta azab kepada mereka seperti yang dilakukan terhadap umat terdahulu yang enggan menerima seruan Rasul-Nya.

Lalu baginda menceritakan satu persatu apa yang berlaku terhadap umat nabi Nuh, Ibrahim, Lut dan sebagainya. Besar harapan Nabi Yunus, tetapi malangnya amaran itu juga dijawab umatnya dengan angkuh.

“Kami tidak akan tunduk padamu. kami tidak takut siksaan Tuhanmu itu. Kalau engkau benar datangkanlah siksaan itu”

Cemuhan itu menyebabkan Nabi Yunus berputus asa. Dengan perasaan kesal, Nabi Yunus meninggalkan umatnya untuk berhijrah ke tempat lain. Selepas bersiap, baginda melangkah membawa diri.

Seperti yang baginda peringatkan, sepeninggalan Nabi Yunus itu Allah telah menurunkan bala terhadap para penduduk Ninawa. Cuaca yang nyaman tiba-tiba bertukar panas. Semakin hari semakin membara hingga kulit mereka yang dulunya cantik mula menggelupas, cacat, jelik serta menjijikkan.

Akibat terlalu panas juga, para ibu mengabaikan anak-anak kecil dan bayi masing-masing. Haiwan-haiwan ternakan seperti biri-biri dan unta pula mati kebuluran, kepanasan serta tidak digembala.

Ketika menanggung azab sengsara itu, barulah penduduk Ninawa teringatkan Nabi Yunus.Mereka kesal kerana tidak mengendahkan seruan Nabi Yunus. Lantas dengan hati yang ikhlas dan tawaduk mereka bertaubat serta memohon ampun kepada Allah.

Sesungguhnya Allah Maha Pengampun. Kerana keikhlasan itu, Allah menghentikan seksaan tersebut. Cuaca panas kembali normal. Selepas teruk menanggung azab, umat Nabi Yunus kembali hidup seperti biasa. Mereka seterusnya mencari-cari Nabi Yunus untuk memohon maaf dan bertaubat.

Sementara itu, apabila sampai ke Pantai Jafa, Nabi Yunus menumpang sebuah perahu untuk menuju ke destinasinya, Terbis. Bagaimanapun, sedang mereka belayar ditengah samudera luas, tiba-tiba angin yang kuat melanda dan gelombang besar datang bergulung-gulung.

Ombak ganas hempas menghempas mengakibatkan perahu terumbang ambing hampir karam. bagi mengelakkan perahu daripada tenggelam, mereka membuang sebahagian muatannya ke dalam laut tapi masih tidak memadai.

“Begini sajalah..” kata salah seorang daripada mereka, sambil menyambung “salah seorang daripada kita terpaksa keluar daripada perahu…terjun ke laut. caranya begini, kita buat undian dan sesiapa yang terpilih perlu berkorban.”

Semua bersetuju dengan cadangan itu. Undian pertama dijalankan dan jatuh kepada Nabi Yunus. Bagaimanapun, kerana sayangkan Nabi Yunus yang mempunyai keperibadian mulia, mereka enggan mematuhi undian itu. Lalu undian kedua pula dilakukan, tetapi masih juga jatuh kepada Nabi Yunus.

Semua penumpang perahu termenung. Demi kasihkan Nabi Yunus, mereka tetap enggan melaksanakan undian itu, sebaliknya mahu undian ketiga dijalankan. Bagaimanapun, kejadian itu menyedarkan Nabi Yunus bahawa pasti ada hikmah tertentu yang hendak Allah tunjukkan kepadanya.

“Tidak mengapa. Biar saya berkorban.” kata Nabi Yunus. Selepas mengucapkan terima kasih kepada para penumpang perahu, baginda pun terjun ke dalam laut.

Namun dengan wahyu Allah seekor ikan paus yang melalui tempat itu telah menelan Nabi Yunus menyebabkan baginda terkurung didalam perut ikan berkenaan, gelap gelita, tanpa makanan dan minuman.

Dalam kesengsaraan itulah Nabi Yunus menyedari kesilapannya yang terlalu cepat berputus asa dan meninggalkan umatnya. Nabi Yunus mula teringat sedangkan nabi-nabi sebelumnya terpaksa berdakwah beratus-ratus tahun tanpa jemu, mengapa pula baginda cepat benar menyerah kalah.

Dengan kekesalannya itulah Nabi Yunus memohon ampun kepada Allah, katanya ” Sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Engkau. Maha Suci Engkau. sesungguhnya aku adalah orang-orang yang menganiayai diri sendiri.”(Surah al-Anbiya:87) Zikir dan doa itu diulang-ulangnya tanpa henti, dalam kelaparan, keletihan dan kekesalan.

Selepas tiga hari baginda terperangkap, akhirnya ikan paus tersebut tiba dipantai dan memuntahkan Nabi Yunus. Terdamparlah Nabi Yunus disitu dalam keadaan lemah longlai tidak bermaya.

Allah Maha Agung. Ditempat baginda terdampar itu terdapat sepohon yaqtin yang rendang dan berbuah lebat. Disitulah Nabi Yunus berlindung daripada panas sementara buahnya pula dimakan untuk mengalas perut yang lapar.

Apabila tubuh Nabi Yunus kembali pulih, turun wahyu Allah mengarahkan baginda kembali kepada kaumnya yang telah bertaubat.

Alangkah gembiranya Nabi Yunus apabila diwahyukan demikian. Tanpa membuang masa dan dengan hati yang riang, baginda kembali ke kampung halamannya. Sampai disana Nabi Yunus segera bersujud memuji dan menyembah Allah, diikuti oleh seluruh kaumnya yang telah bertaubat.

PENGAJARAN PERISTIWA TERSEBUT

Menurut pensyarah Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam Universiti Malaya, Ustazah Fatimah Ali, peristiwa berkenaan mempunyai signifikan yang besar dalam kehidupan seluruh umat manusia.

“Walaupun nampak seperti Nabi Yunus melakukan kesilapan, namun perlu diingat, Allah tidak menjadikan peristiwa itu sia-sia, banyak pengajaran yang hendak ditunjukkan-Nya daripada peristiwa itu” katanya

•Jangan mudah berputus asa dan menyerah kalah apabila usaha kita tidak membuahkan hasil yang diharapkan.

•Apabila telah melakukan kesilapan, walau kemana sekalipun kita cuba melarikan diri, lambat laun balasannya (dari Allah) akan kita terima jua.

•Sewaktu ditimpa ujian dan kesulitan, kita perlulah bermuhasabah, memeriksa kesilapan diri, bertaubat dan berazam untuk tidak mengulangi kesilapan lalu. Ingatlah kepada hadis Nabi S.A.W, bermaksud ” Semua orang bersalah, (tetapi) sebaik-baik orang yang bersalah adalah yang bertaubat”

•Didalam kesulitan, kita hendaklah sentiasa bersabar, beristighfar, berdoa serta tidak melupakan Allah.

•Terimalah setiap ujian Allah itu dengan positif dan bersangka baik terhadap Allah. Ini dijelaskan Nabi S.A.W dalam hadis qudsi-Nya yang bermaksud ” Aku mengikut apa yang Hamba-Ku sangka kepada-Ku” Kalau kita anggap ujian itu sebagai bala, ia akan jadi bala. tapi kalau yakin Allah akan selamatkan kita, Insyaallah.

•Sesuatu yang berlaku kepada kita pasti ada hikmah-Nya kerana sesungguhnya apa yang berlaku itu adalah yang sebaik-baiknya untuk kita, seperti firman Allah yang bermaksud,” Mungkin apa yang kamu tidak suka itu lebih baik bagi kamu tetapi mungkin apa yang kamu suka itu tidak lebih baik untuk kamu. Allah lebih mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui”

•Nilaikan seseorang itu, pemimpin misalnya, semasa masih hidup dan masih berada dikalangan kita. Jangan lihat keburukan sahaja, kita kena tengok juga kebaikannya.

•Ambillah kesempatan semasa seseorang itu ada bersama kita, apabila dia menyeru kearah kebaikan. jika tidak, kita akan kehilangan seseorang yang sangat berharga, pesan Ustazah Fatimah Ali.

Perlu diingat iaitu jika kita terasa diuji, sebenarnya ada orang yang menerima ujian lebih teruk berbanding yang kita hadapi.

FIRMAN

DAN janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersifat bakhil) – Al-Baqarah:195 Sent by DiGi from my BlackBerry® Smartphone

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: