Putera Klasik

Fikirkanlah…Renungkanlah

Membangunkan Usahawan Cemerlang

KUANTITI YANG BERKUALITI

Globalisasi dan Liberalisasi pasaran mendedahkan kepada kita betapa perniagaan pada abad ini sebenarnya merupakan alat penjajahan bentuk baru. Kita bakal berhadapan dengan cabaran yang cukup getir melalui serangan-serangan bersifat ekonomi yang bertujuan melumpuhkan kedaulatan negara.

Jelas kepada kita bahawa kuasa pasaran akan digunakan untuk menentukan jatuh bangunnya ekonomi Negara. Memandangkan kekuasaan berkait rapat dengan kuasa ekonomi maka kejatuhan kuasa ekonomi akan menyebabkan jatuhnya kekuasaan kerajaan yang memerintah.

Business is war! Justeru usahawan kita perlu diterapkan dengan mentaliti yang bersesuaian. Untuk berperang dan menang dalam pertempuran memerlukan latihan yang intensif. Masa depan kita terletak kepada para usahawan kita. Usahawan kita mesti benar-benar bersedia sebelum dibenarkan untuk berjuang.

Musuh kita adalah orang asing. Sesama kita harus ada kerjasama yang jitu. Sebarang bentuk perselisihan yang wujud dikalangan rakyat perlu dibendung dan diatasi dengan segera. Mempertahankan Negara ini adalah tanggungjawab kita semua. Peniaga dan pelanggan perlu memainkan peranan yang saling mengukuhkan. Setiap kita adalah saling memerlukan maka setiap kita perlu sedar dan komited dengan peranan masing-masing

TIADA JALAN LAIN KECUALI BERSATU PADU DAN SALING SETIA.

MENINGKATKAN KUALITI DALAM INDUSTRI.

Selepas mencapai kemerdekaan, dalam usaha semua pihak bagi mengisi kemerdekaan, pendekatan yang digunakan lebih mementingkan kuantiti. Kita lebih kepada untuk meng adakan sesuatu yang pada hemat kita perlu ada. Perniagaan dalam abad ini sebenarnya makin memerlukan kualiti disamping kuantiti.

Namun memandangkan kebanyakan pemilik industri lebih bersikap complacent maka perkara-perkara yang sebenarnya suatu kecacatan tidak diambil tindakan sewajarnya. Barangkali kerana menganggapkan ianya sesuatu yang natural dan terpaksa diterima sebagai sebahagian dari bidang. Parts and parcel of the industry.

MENCEGAH KEWUJUDAN USAHAWAN KOREK KAMBUS

Untuk menjadi usahawan yang berjaya bukan sesuatu yang mudah. Ilmu merupakan prasyarat utama untuk memantapkan usahawan. Selain dari itu sikap, pengalaman dan matlamat serta niat yang betul akan mempengaruhi setiap usaha yang dibuat oleh seseorang usahawan itu.

Kita perlu mengambil pendekatan yang proaktif dalam usaha pembangunan setiap usahawan. Masa untuk mencuba telah berlalu. Sekarang masanya untuk membuat dan membuatnya dengan betul. Menganggapkan bahawa peluang untuk menjadi usahawan itu sebagai ‘once in a lifetime attempt’ maka setiap peserta akan dipastikan benar-benar memiliki segala prasyarat untuk berjaya sebelum memasuki pasaran.

BELAJAR DARI SEJARAH

Berdasarkan pengalaman dan analisis pakar ekonomi, telah dapat dirumus keadaan sebenar yang melingkari usahawan kita. Banyak yang diperkatakan tentang kegagalan usahawan Melayu. Kesimpulan yang boleh dibuat dengan permasalahan ini adalah seperti berikut;

SIFAT

Setiap insan memilik sifat-sifat tersendiri. Bukan semua manusia diciptakan sama. Namun demikian tidak wajar dijadikan pertandingan kepelbagaian sifat ini. Permasalahan akan wujud bilamana individu yang memiliki sifat-sifat tertentu diberi tanggungjawab yang merupakan cabaran yang terlalu besar untuk dirinya.

Sebagai perbandingan;

Kambing mempunyai sifat semulajadi sebagai binatang yang memakan tumbuh-tumbuhan (maun). Bayangkan apa yang boleh berlaku bilamana kambing diberi tanggungjawab untuk menjaga kebun sayur? Atau kambing diberi tanggungjawab memimpin sekumpulan harimau atau harimau diberi tanggungjawab menjaga sekawan kambing?

Ringkasnya : Segala sesuatu ada tempatnya maka adalah wajar segala sesuatu itu diletakkan pada tempatnya. Pakar dalam bidang perlu diberi tanggungjawab yang berada dalam ruang lingkup kepakaran yang dimilikinya. TIDAK BOLEH TANGKAP MUAT.

SIKAP

Kegagalan usahawan Melayu lebih banyak disebabkan oleh sikapnya sendiri dan sikap semua pihak yang terlibat untuk membantunya. Terlalu banyak yang telah diperkatakan berkenaan sikap ini.

KEJAHILAN

Kebanyakan usahawan Melayu yang gagal adalah disebabkan oleh kejahilan. Jahil dengan keperluan dalam bidang yang diceburinya. Ramai yang gagal kerana terlalu mengharap dan mempercayai orang lain untuk perkara-perkara yang tidak diketahuinya.

NIAT DAN MATLAMAT YANG KABUR

Kebanyakan kita menceburi bidang keusahawanan semata-mata kerana wang. Wang dijadikan matlamat dan bukan alat. Jika adapun kelihatan prinsip-prinsip tertentu yang diketengahkan, ianya sukar diteruskan dan dalam banyak ketika terpaksa dikompromi atas banyak sebab.

KONSEP PENDIDIKAN USAHAWAN

Program-program yang diatur menggunakan konsep mentor. Melalui cara ini para peserta akan didedahkan dengan segala ilmu dan pengetahuan yang berkaitan dengan bidang peniagaan yang dipilih.

Menurut kaedah biasa, usahawan terpaksa mengenalpasti sendiri segala cabang ilmu yang perlu dipelajari. Melalui kaedah sambil jalan sambil kutip, usahawan berkenaan mendapat pelajaran diakhir perjalanannya.  Usahawan yang akhirnya ‘nampak’ apa sebenarnya hanya setelah dirinya ‘gagal’. Kejayaan mereka hanyalah menambah hutang dan kehilangan kepercayaan kawan dan saudara-mara.

Masalah sampingan yang wujud melalui kaedah sambil jalan sambil kutip ini adalah imej yang tercalar usahawan Melayu. Selepas berpenat lelah selama bertahun-tahun usahawan korek kambus ini terus terpinggir. Golongan usahawan yang kecewa dan terperdaya ini biasanya akan terus berusaha tetapi didorong oleh sentimen yang amat negatif. Kegiatan mereka seterusnya makin merosakkan institusi keusahawanan Melayu.

Bangsa Melayu belajar berniaga dengan pandai-pandai sendiri. Dalam banyak keadaan kewibawaan niaga bangsa Melayu turut tercemar oleh aktiviti menonong para peniaga. Meraba-raba dalam kejahilan dan ruang yang terkepung.

Memandangkan ruang dan peluang yang semakin terhad untuk peniaga Melayu, maka perebutan dan pertelingkahan sesama kita sering berlaku. Peniaga Melayu adalah seperti ‘enau di dalam belukar’. Yang berjaya dari kalangan kita berdiri diatas kekecewaan saudara sebangsa. Kejayaan seumpama ini tidak boleh kekal lama kerana yang dibawah akan berusaha untuk naik pula dengan menjatuhkan orang yang diatas. Lazimnya dengan cara-cara yang akan terus mencalarkan imej bangsa Melayu itu sendiri. Lebih menjahanamkan lagi, akibat terlalu kecewa wujud golongan yang jika mereka sendiri tidak dapat maka orang lain pun jangan dapat.

BELAJAR DARI ORANG LAIN

Berdasarkan pemerhatian , anak-anak bangsa Cina belajar berniaga tanpa dibenarkan merosakkan institusi niaga itu sendiri. Golongan belia mereka diberi peluang dan diajar berniaga tanpa merosakkan strategi perniagaan yang telah diatur.

Bangsa Cina terus berjaya dengan perancangan yang melibatkan keseluruhan komuniti mereka. Mereka dapat berganding bahu walaupun diantara persatuan mereka mempunyai agenda tersendiri. Dengan meletakkan orang yang sesuai ditempatnya, bangsa Cina terus menguasai ekonomi. Usaha mereka menyesuaikan individu dengan tanggungjawab dilaksanakan tanpa merosakkan cengkaman mereka ke atas ekonomi.

Program yang dicadangkan cuba menggarap kaedah yang telah lama digunapakai oleh bangsa Cina ini.

Program Pembangunan Usahawan dirumus dengan tujuan-tujuan berikut;

  • Memastikan bakal usahawan telah benar-benar bersedia dari segi Ilmu dan pengetahuan. Kita tidak menggalakkan usahawan ikut-ikutan.
  • Memastikan perkongsian pengalaman sebenar untuk sesuatu bidang perniagaan itu.
  • Memastikan penerapan semangat juang yang kental dan pembentukan sikap yang betul.
  • Memastikan potensi sebenar yang ada pada diri seseorang usahawan itu disalurkan ke bidang perniagaan yang benar-benar sesuai dengan dirinya.
  • Memastikan para usahawan benar-benar memahami dan menyedari risiko dan kelebihan sebenar sesuatu bidang perniagaan itu.
  • Memastikan para usahawan itu tahu dengan pasti apa yang diperlukan untuk menjayakan sesuatu bidang perniagaan itu.
  • Memastikan para usahawan itu tahu dan sedar tugas dan tanggungjawab mereka sebagai ahli perniagaan.
  • Membantu mewujudkan jaringan kerja yang mantap dikalangan usahawan.
  • Memastikan bimbingan dan pimpinan dapat diberikan sehingga seseorang usahawan itu benar-benar boleh berdikari.
  • Memastikan imej institusi keusahawanan Melayu tidak terus terhakis.
  • Memastikan Wawasan 2020 benar-benar dapat dicapai mengikut acuan sendiri.

KUANTITI YANG BERKUALITI

Peserta yang menyertai program akan dipantau seperti berikut;

Kita perlu kepada anggota yang boleh berfikir dengan waras dan mengambil tindakan sendiri bila perlu berbuat demikian. Setiap anggota kita perlu diinsafkan betapa sebarang tindakan yang boleh mengkhianati perjuangan perlu diketepikan.Program dirumus sedemikian rupa supaya para usahawan kita mampu berdikari. Bimbingan dan pimpinan yang diberikan adalah supaya para usahawan kita sedar dengan sebenar-benarnya peranan dan tanggungjawab mereka sebagai barisan utama pertahanan negara.

Usahawan kita perlu belajar tanpa menyebabkan kerosakan kepada sistem ekonomi yang dibangunkan.

SYARIKAT ANGKAT

Syarikat-syarikat angkat ini merupakan francisor atau syarikat induk untuk rangkaian syarikat dalam bidang berkaitan yang bakal ditubuhkan oleh para peserta program.

Dalam usaha untuk membina rangkaian peruncit dalam bidang-bidang berkenaan kaedah perkongsian berikut bolehlah digunapakai;

RATIO PERKONGSIAN

70:30

60:40

40:60

30:70

TAHUN 1

TAHUN 2

TAHUN 3

TAHUN 4

Kita perlu mensasarkan pada tahun 2010 sebilangan besar usahawan-usahawan ini dibebaskan dari ikatan saham oleh Francisor. Tujuannya adalah untuk merendahkan kos operasi syarikat induk.

Syarikat induk pada waktu ini bertindak sebagai pembekal utama kepada rangkaian kedai milik usahawan-usahawan berkenaan. Dalam keadaan tertentu, syarikat-syarikat induk akan bertindak menyelamatkan outlet-outlet yang bermasalah melalui pembelian semula saham dalam syarikat.

JENIS PERNIAGAAN YANG DIBANGUNKAN

  • KEDAI SERBANEKA
  • KEDAI ICT DAN INTERNET CAFÉ
  • RESTORAN MAKANAN SEGERA
  • KEDAI KEK DAN PASTRI – SNACK SHOPPE
  • LAIN-LAIN

PIMPINAN DAN BIMBINGAN

Melalui syarikat-syarikat angkat, para peserta akan didedahkan dengan keadaan sebenar perniagaan dalam bidang berkaitan. Para peserta akan dibenarkan membuat kajiselidik berdasarkan operasi sebenar dan tidak mustahil para peserta akan dapat melihat kepincangan atau perkara-perkara yang boleh dipertingkatkan dalam organisasi.

Tujuan program adalah bagi mendedahkan para peserta kepada rangkaian set-back yang jika tidak diperbaiki akan digunakan oleh pihak musuh untuk mengalahkan kita. Busines is war. Sebarang kecacatan boleh membawa kepada keruntuhan perniagaan kita. Bakal usahawan kita perlu dibenarkan melihat segala kecacatan yang wujud dalam industri berkaitan. Para peserta diminta mengetengahkan kecacatan dan mengemukakan penyelesaian yang wajar kepada permasalahan tersebut.

Pengalaman para peserta tentunya akan membuka perspektif yang lebih luas kepada mereka sebelum membuat sebarang komitmen lanjut.

Kita mensasarkan untuk membangunkan 1,000 outlet untuk setiap bidang diatas menjelang tahun 2010.

PEMBANGUNAN EKONOMI SETEMPAT

Rangkaian peruncit yang diusahakan khususnya Kedai Sebaneka, adalah dengan tujuan untuk membangunkan golongan belia luar bandaraya. Dengan menjadikan Kedai Serbaneka pusat pengumpulan (HUB), kita menjanjikan pasaran untuk produk-produk yang dihasilkan oleh penduduk setempat, khususnya yang diusahakan oleh golongan belia.

Kedai Serbaneka juga boleh dijadikan pusat maklumat. Selain dari itu kita boleh menyediakan khidmat kaunseling kerjaya kepada golongan belia luar bandaraya.

Dengan mewujudkan saluran kepada pasaran yang lebih luas, Kedai Serbaneka menjadikan setiap ceruk desa mempunyai potensi ekonomi, justeru mengelakkan penghijrahan besar-besaran golongan belia ke bandar-bandar besar.

Kita harap usaha ini akan membantu mewujudkan keseimbangan pembangunan ke serata tanahair.

Hanya usaha yang dijalankan secara kolektif yang boleh mewujudkan keseimbangan dalam masyarakat kita. Khususnya dalam aspek ekonomi kita akan berusaha agar jurang yang ada tidak terlalu luas.

Golongan rakyat yang kecewa dalam arus pembangunan negara hanya akan mewujudkan ruang untuk gerakan menghasut oleh bangsa penjajah.

IMPIAN KITA

Segala gerakkerja adalah berdasarkan falsafah perjuangan yang dikemukakan oleh Impian Kita. Inisiatif yang diambil adalah dengan tujuan untuk merealisasikan matlamat-matlamat berikut;

  • Kesatuan Melayu tanpa mengira kepentingan politik.
  • Meningkatkan dan memantapkan kualiti usahawan sedia ada melalui penggabungan.
  • Menggembeling tenaga dan kepakaran usahawan-usahawan Melayu sedia ada dalam satu wadah perjuangan yang sama.
  • Membangunkan rangkaian usahawan yang setia dalam kuantiti yang berkualiti.
  • Membangunkan jaringan kerjasama yang mantap dan kukuh dikalangan usahawan Melayu.
  • Membangunkan rangkaian pengguna setia yang terdiri dari umat Islam khususnya bangsa Melayu.
  • Meningkatkan semangat cintakan kedamaian dikalangan umat Islam.
  • Mengembalikan, mengukuhkan dan mempertahankan kekuasaan politik Melayu dipersada politik tanahair.
  • Meningkatkan, menguatkan dan mempertahankan pegangan ekonomi Melayu di tanahair sendiri.
  • Membina pertahanan bangsa dalam menghadapi suasana politik dan iklim ekonomi global yang semakin berubah.
  • Menguatkan jatidiri belia yang bakal menjadi pewaris kepada kepimpinan Negara.
  • Mengelakkan penghijarah belia ke bandar-bandar besar secara besar-besaran.
  • Merintis jalan ke arah penamatan sengketa sesama Melayu khususnya yang melibatkan tanah pusaka.
  • Memberi nilai komersial kepada tanah-tanah simpanan Melayu yang selama ini terbiar sekaligus mempertahankannya.
  • Memastikan tidak wujud golongan yang kecewa dari kalangan kita. Merapatkan jurang pencapaian ekonomi sesama bangsa Melayu.

© AskMe 2005

Masih relevankan catatan ini?

One response to “Membangunkan Usahawan Cemerlang

  1. Pingback: Dikesempatan Ini! | Putera Waktu

Leave a comment