Putera Klasik

Fikirkanlah…Renungkanlah

Amalan Rasuah Berupaya Lenyapkan Bangsa Melayu

DIAGNOSIS oleh DR MOHD AZAM RAUZAN- BERITA HARIAN

SETIAP dari kita ada pelbagai perasaan menyaksikan Iraq diceroboh. Ada yang marah dan geram. Tidak kurang juga yang resah gelisah menunggu kesannya.

Ia berbaur dengan pilu, duka dan sedih melihat penderitaan rakyat Iraq tetapi kita semua sekadar dapat meratapinya kerana kita hanya mampu menonton dan berdoa untuk mereka, tidak lebih daripada itu.

Menang atau kalah, Iraq tetap musnah, hancur dan menjadi padang jarak padang tekukur. Begitulah mahalnya erti keamanan dan kita harus mengambil iktibar daripadanya.

Kekuatan Iraq bukan pada kecanggihan senjata tetapi kekentalan semangat dan perpaduan rakyatnya mempertahankan setiap sentimeter bumi mereka.

Tetapi pernahkan kita terfikir bagaimana pula dengan negara kita, masyarakat kita, khususnya orang Melayu? Bukan dalam konteks persediaan perang dengan musuh luar seperti Iraq tetapi persiapan menghadapi musuh dalaman kita.

Sebagai anak kelahiran pasca merdeka dan menjadi seorang professional dalam bidang perubatan, saya ingin membicarakannya dengan pemikiran terbuka mengenai musuh dalaman kita.

Ada banyak jika mahu disenaraikan dari segi politik, ekonomi dan sosial. Semuanya berkisar kepada soal perebutan kuasa, politik wang, perpaduan, pengagihan kek ekonomi, rasuah, penyalahgunaan dadah dan keruntuhan moral- sekadar menyebut beberapa contoh. Ini semua adalah antara musuh dalaman kita yang akan mengancam kelangsungan masa depan bangsa.

Buat permulaan ini, saya ingin mengambil satu daripadanya, iaitu rasuah sebagai musuh utama. Saya terpanggil untuk menyentuh perkara ini apabila dilontarkan oleh Pemangku Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, bulan lalu.

Atas keinsafan dilahirkan dipekan kecil Parit Jawa, Muar dan menempah kejayaan hasil pendidikan menerusi Dasar Ekonomi Baru (DEB) saya terharu dengan sentuhan Pak Lah yang melihat rasuah sebagai penyakit yang perlu diubati segera.

Pemangku Perdana Menteri sedar sudah ramai yang menjadi mangsa rasuah, malah DEB sendiri tidak tercapai sepenuhnya kerana rasuah barangkali mempengaruhi pada peringkat pelaksanaannya. Penekanan mengenai perkara ini tepat pada masanya dalam kita mengharungi cabaran menuju Wawasan 2020.

Rasuah bukan perkara baru. Ia berlaku dimana-mana. Tidak ada negara atau bangsa yang tidak terbabit rasuah. Sejarah membuktikan ia berlaku dalam pelbagai tamadun dan setiap peringkat.

Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad sebelum menjadi Perdana Menteri pun, beberapa kali membicarakan dan menulis mengenai buruknya kesan rasuah.

Memang pahit untuk ditelan tetapi kita tidak boleh menidakkannya. Rasuah jika dibiarkan, menjadi wabak dan akhirnya tanpa disedari memusnahkan bangsa dan tamadun yang kita bina sejak merdeka

Rasuah tidak hanya boleh berlaku dan tertumpu dalam keadaan tertentu. Ia boleh berlaku dalam apa jua keadaan dan dimana saja. Rasuah tidak mengenal sesiapa. Apabila ada pihak yang bersedia merasuah dan ada pihak yang mahu dirasuah, maka berlakulah perbuatan menjijikkan itu.

Yang menyedihkan ialah kesannya. Akibatnya mungkin ditanggung oleh segelintir pihak yang terbabit tetapi yang lebih mendukacitakan apabila kesannya dirasai oleh lebih ramai rakyat. Rasuah boleh menyebabkan golongan yang memerlukan dinafikan hak atau peluangnya, bangunan dibina tidak sempurna, lalu mengancam nyawa penghuninya dan lebih buruk kepimpinan yang terpilih adalah mereka yang menghalalkan perbuatan itu.

Apabila itu berlaku dan merebak, jadilah kita masyarakat berpenyakit. Harga diri hilang, tiada lagi maruah dan segala-galanya boleh tergadai. Ketika itu, ubat sudah tidak memadai, barah sudah bernanah, hanya menunggu waktu untuk meletus.

Kejatuhan negeri Melayu ke tangan British dan akhirnya Tanah melayu terjajah lebih 450 tahun, mungkin boleh dijadikan contoh membuktikan kesan rasuah.

PEMIMPIN RASUAH RAKYAT TANGGUNG DERITA

Barangkali bunyinya keterlaluan , tetapi marilah kita menelitinya dengan penuh rasa sedar dan bertanggungjawab.

Ketika itu, pada abad ke-19, potensi kekayaan negeri Melayu menjadi rebutan pedagang asing. Mereka mendapat peluang menerokai sumber negeri, termasuk memperolehi perlombongan, peluang berniaga dan pemberian tanah untuk pelbagai tujuan dengan memberi ‘saguhati’ kepada pembesar.

Kesannya, pembesar lebih memberi tumpuan kepada pedagang asing bagi mendapat lebih banyak saguhati hingga lupa kepada tanggungjawab terhadap rakyat. Rakyat menjadi kecewa dan terbiar. Lebih buruk apabila iri hati timbul dikalangan pembesar Melayu ketika itu kerana ada yang kurang mendapat saguhati.

Pada masa sama, orang asing yang tidak mendapat peluang, mula menghasut supaya pembesar yang kaya digulingkan. Maka berlakulah perebutan kuasa, permusuhan dikalangan pembesar yang akhirnya meminta pertolongan British. ‘Pertolongan’ Bristish ini akhirnya menyebabkan satu demi satu negeri Melayu terjajah secara halus.

Jangan kita fikir ia tidak berlaku pada zaman sekarang. Jangan kita biarkan kejadian itu daripada berulang. Kerana penjajahan bentuk baru dalam dunia moden ini, akan menjadi lebih perit lagi.

Kita tidak berupaya membiarkan negara ini, masyarakat ini ditadbir oleh pembesar (pemimpin dan pegawai kerajaan dalam konteks sekarang), yang menghalalkan rasuah.

Bagi menghapuskan rasuah dan kesannya, setiap anggota masyarakat mesti menjauhkan diri daripada amalan berkenaan. Untuk maksud ini, ia bergantung kepada kejujuran setiap anggota masyarakat. Penguatkuasaan dan undang-undang saja tidak menjamin penghapusan rasuah.

Kita telah melihat bagaimana demokrasi di Amerika Syarikat menjadi hancur disebabkan gejala rasuah yang didedahkan dalam skandal Watergate. Bukan Nixon saja yang terbabit, bahkan semua calon presiden negara itu juga mengamalkannya. Ini kerana pemilih menuntut perbelanjaan yang tinggi bagi menyokong calon presiden, bukannya memberi sokongan secara ikhlas dan jujur.

Sebab itu, Dr Mahathir dalam ucapannya di Perhimpunan Agung UMNO 1996, secara terang, dan jelas meminta perwakilan parti menolak pemimpin rasuah. Pemimpin rasuah akan diangkat ke kedudukan lebih tinggi oleh mereka yang turut menerima perbuatan itu sebagai halal.

Mereka yang memilih pemimpin rasuah, berharap mendapat pulangan menerusi kuasa yang dimiliki pemimpin pilihan mereka. Apabila itu berlaku, yang menderita ialah rakyat terbanyak, iaitu kita semua.

Seorang rakan menghantar pesanan ringkas melalui telefon bimbit yang berbunyi ” Dalam masyarakat nampaknya segenggam wang lebih kuat daripada dua genggam kebenaran kerana bila wang bersuara kadangkala kebenaran menjadi diam”

Fikirkanlah…Renungkanlah…..

© @AskMe 2005/2011

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: